Selamat Datang Ke Laman Mohamad Asyraf Basri..Ikuti Segala Perkembangan Terkini Tentang Dunia ICT

Tuesday 14 August 2012


Paparan dan Berita


Integrasi teknologi terkini Samsung

Keunikan netbook Samsung ini ialah ketahanan baterinya.
JENAMA Samsung sememangnya terkenal dengan keunggulan rangkaian kelengkapan elektronik dan komunikasinya yang berteknologi tinggi.
Merangkumi perkakasan rumah, pengkomputeran dan juga alat telekomunikasi, fungsi pada produk-produk tersebut tidak pernah menghampakan penggunanya.
Pengarah Urusan Samsung Malaysia Elektronik (Samsung) Sdn. Bhd., Yu Jai Sul, berkata, sebagai syarikat teknologi, Samsung sentiasa berusaha untuk menghasilkan produk unik bagi memenuhi keperluan dan cara hidup pengguna.
''Kita akan mengetengahkan idea-idea kreatif pada produk yang dihasilkan agar pengguna dapat menikmati pengalaman hidup yang lebih bermakna.
''Tidak cukup dengan itu, kesemua produk Samsung kini juga akan ditampilkan dalam dimensi serba baru menerusi rekaan elegan dan menarik,'' katanya.
Menyokong matlamat tersebut, Samsung telah memperkenalkan rangkaian produk penyelesaian teknologi terbaru untuk tahun ini.
Ia merangkumi komputer riba netbook, monitor komputer dan pencetak laser pelbagai fungsi.
Netbook
Untuk komputer riba netbook N220, ia didatangkan dengan keunikan jangka hayat bateri sehingga 12 jam dan kepantasan prestasi.
Model berkenaan dipacu oleh pemproses Intel Atom N450 (1.66GHz, 667MHz) dengan RAM DDR2 satu gigabit (GB) serta dilengkapi sistem operasi Windows 7.
Untuk kepuasan paparan, N220 tersedia bersama skrin WSVGA 10.1 inci dengan implementasi teknologi cahaya LED belakang serta disokong oleh keupayaan grafik Intel GMA3150.
Lebih menarik, model itu turut disempurnakan bersama kemasan berkilat serta ringan sesuai untuk fungsi pengkomputeran mobiliti di mana-mana.
Spesifikasi lain yang ditampilkan adalah seperti cakera keras 250GB, sambungan USB dan Bluetooth, slot bacaan kad memori tiga dalam satu, capaian wayarles dan pembesar suara 2.1 inci.
Monitor komputer
Seterusnya, Samsung turut berbangga memperkenalkan monitor komputer dengan teknologi lampu belakang LED berdefinisi tinggi (HD) model XL2370.
Dengan keluasan paparan 23 inci, binaan luar monitor itu dibangunkan rekaan nipis serta menjimatkan ruang.
Sebagai menyokong inisiatif penjagaan alam sekitar, kesemua material yang digunakan pada model ini dibina daripada bahan yang boleh di kitar semula.
Untuk tujuan sama, operasinya turut menawarkan penjimatan tenaga sehingga 33 peratus.
Spesifikasi istimewa lainnya adalah seperti input video DVI dan HDMI, teknologi kesan warna mengikut saiz imej dan resolusi paparan 1920x1080.
Pencetak
Produk terakhir yang diketengahkan adalah pencetak laser SCX-4623F pelbagai fungsi seperti mencetak, menyalin, mengimbas dan juga faks.
Model berkenaan mempunyai kelebihan memori 64 megabit (MB) menerusi peningkatan fungsi versatil pencetakan web secara terus dengan satu sentuhan mudah.
Di samping itu, ia turut menyokong aktiviti mencetak sehingga 22 muka surat sesaat (ppm).
Keunikan model itu juga ditampilkan menerusi operasi faksnya yang boleh di hantar kepada komputer secara terus dan sebaliknya.
Penampilan ciri lainnya adalah seperti sambungan USB serta capaian sokongan navigasi kompas.

Papan kekunci maya

ANDA hanya perlu memakai alat Skinput di lengan untuk membolehkan kulit tangan anda menjadi papan kekunci atau skrin sesentuh.

SETELAH teknologi papan kekunci semakin berkembang apabila kini kita boleh mendapatkan papan kekunci yang boleh dilipat empat untuk diletak di dalam poket dan menggunakan papan kekunci maya di skrin sesentuh, kini anda boleh menggunakan tangan anda sebagai papan kekunci.
Fungsi papan kekunci sememangnya sangat penting dalam dunia komputer masa kini kerana ia perlu dihubungkan kepada alat-alat kecil seperti telefon bimbit dan alat bantuan digital peribadi (PDA).
Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dan teknologi berkaitan papan kekunci mula dikaji dan diperkenalkan kepada mayarakat untuk memudahkan penggunaannya bersama gajet-gajet kecil tadi.
Satu teknologi yang baru diperkenalkan baru-baru ini berjaya menarik ramai apabila anda boleh menukarkan kulit di badan atau tangan anda menjadi skrin sesentuh atau papan kekunci maya. Menarik bukan? Teknologi yang dikenali sebagai Skinput itu dibangunkan oleh Chris Harrison, pelajar doktor falsafah dari Institut Interaksi Manusia-Komputer di Carnegie Mellon University, Pittsburgh, Pennsylvania, Amerika Syarikat. Harrison berkata, walaupun saiz barangan elektronik semakin kecil sehingga boleh dipakai seperti pakaian tetapi kita masih bergantung kepada skrin dan papan kekunci yang besar untuk menggunakan alat itu.
"Ini menjejaskan tujuan asal gajet kecil itu dibangunkan," katanya. Bagaimanapun, Harrison dan kumpulannya telah berjaua memperkenalkan perisian pengesanan impak dan akustik yang mampu menukarkan kulit atau tangan menjadi papan kekunci dan juga papan sesentuh jika anda memakai projektor pico dilengan anda. Beliau berkata, sebelum ini, kajian menggunakan meja dan dinding sebagai skrin sesentuh tetapi disebabkan gajet terkini sangat kecil dan sentiasa dibawa ke mana-mana, kadang kala agak sukar untuk mendapatkan permukaan yang rata. "Jadi menggunakan kulit sendiri merupakan penyelesaian yang paling praktikal kerana ia sentiasa bersama kita," katanya sambil menambah kita boleh menggunakan permukaan berkeluasan dua meter persegi yang mudah dicapai seperti di lengan, peha dan badan. Beliau menggunakan gabungan bunyi yang berlainan yang terhasil daripada sentuhan di berlainan tempat seperti di jari, lengan atau tangan dan kemudian menggabungkan bunyi itu menjadi fungsi komputer. Kelebihan sistem ini juga ialah anda boleh mengoperasikan komputer, telefon bimbit atau pemain MP3 dengan mudah walaupun ketika bergerak seperti berlari kerana anda hanya perlu menyentuh bahagian-bahagian tertentu seperti hidung, telinga dan sebagainya. Kumpulan penyelidik itu juga telah membangunkan sistem pengesanan bio-akustik yang boleh dipakai tanpa perlu mengalirkan apa-apa aliran elektrik ke kulit. Harrison menjelaskan, apabila jari anda menyentuh badan, tulang, tisu lembut, bahagian penyambung dan sebagainya, ia memberikan kesan bunyi yang berlainan. Perisian yang dibangunkan boleh mengenali corak bunyi akustik bahagian-bahagian itu dan kemudian menterjemahkannya sebagai arahan-arahan dalam komputer. Beliau berkata, kumpulan kajiannya telah berjaya mencapai ketepatan membaca arahan itu sehingga 95.5 peratus dan mempunyai 'butang' yang mencukupi untuk mengawal pelbagai peranti, termasuk boleh bermain Tetris dengan hanya menggunakan hujung-hujung jari sebagai alat kawalan. Alat ini juga boleh disambungkan ke gajet-gajet menggunakan teknologi wayarles Bluetooth. Bagaimanapun, teknologi ini masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan belum boleh dipasarkan. Masa depan telah tiba
Bagi mereka yang tidak sabar untuk menggunakan papan kekunci maya, sebenarnya telah terdapat sebuah produk yang dikenali Papan Kekunci Maya I-Tech yang telah dijual di pasaran. Produk masa depan ini sememangnya menunjukkan kecanggihan masa depan kerana anda kini tidak lagi perlu membawa papan kekunci yang besar kerana ia boleh dipancarkan ke mana-mana permukaan yang rata. Sesiapa sahaja yang berada di sekitar anda sudah tentu akan terpegun apabila melihat anda hanya perlu menaip di meja atau mana-mana permukaan rata yang disambungkan kepada telefon bimbit atau PDA. Dengan mempunyai 63 kunci dan reka bentuk QWERTY seperti papan kekunci biasa, anda kini boleh menaip surat atau e-mel dengan mudah tanpa perlu lagi sering tersalah tekan apabila menggunakan keypad kecil di telefon atau skrin sesentuh iPhone anda. Produk ini disambungkan ke alatan anda menggunakan teknologi Bluetooh dan ia akan memaparkan cahaya laser dengan saiz papan kekunci sebenar di mana-mana permukaan yang anda halakan. Alat pemancarnya yang hanya bersaiz 3.5 inci tinggi, menggunakan bateri boleh dicaj semula yang mampu bertahan selama dua jam jika anda menaip sepenuh masa. Ia juga boleh digunakan dengan pelbagai sistem operasi seperti PalmOS 5, PocketPC 2003, Windows Smartphone, Symbian OS dan Windows 2000/XP dan juga Mac OSX Support yang terhad.
Produk yang dijual dengan harga kira-kira RM700 ini boleh ditempah melalui laman web http://www.virtual-laser-keyboard.com/.


No comments:

Post a Comment