Selamat Datang Ke Laman Mohamad Asyraf Basri..Ikuti Segala Perkembangan Terkini Tentang Dunia ICT

Tuesday 14 August 2012


Perluasan teknologi IPTV di hospital

MAXIMUS (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian (MoU) aplikasi Hospital IPTV di antara Digistar Rauland MSC dengan Pusat Perubatan Tropicana (TMC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

INDUSTRI kandungan digital kreatif negara terus diperluaskan menerusi pengenalan sistem televisyen protokol Internet di hospital (Hospital IPTV).
Dibangunkan oleh syarikat Digistar Rauland MSC Sdn. Bhd. (Digistar Rauland MSC), ia merupakan penyelesaian teknologi Hospital IPTV yang pertama di Malaysia.
Perkhidmatan interaktif tersebut secara asasnya bakal disediakan di wad-wad hospital dengan tujuan menawarkan pelbagai kemudahan kepada para pesakit.
Antara aplikasinya adalah seperti capaian saluran hiburan untuk radio dan video mengikut permintaan, saluran kesihatan, laporan berita terkini, keadaan cuaca, memesan makanan, respons pesakit, rekod pesakit, ucapan elektronik, perbankan elektronik serta bil hospital.Menurut Pengarah Urusan Digistar Corporation Berhad, Datuk Lee Wah Chong, pihaknya mengambil masa selama dua tahun untuk menjalankan kajian dan penyelidikan teknologi tersebut. ''Hospital IPTV menawarkan lebih daripada 20 saluran dengan tumpuan penyediaan kandungan program berkaitan kesihatan untuk memberi kesedaran dan informasi kepada para pesakit mengenai jenis penyakit, teknik pencegahan dan cara mengamalkan gaya hidup sihat. ''Sistem ini telah mendapat kelulusan dari pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Jadi, kami yakin untuk memperluaskan teknologi ini kepada lebih banyak hospital pada masa hadapan. ''Menerusinya juga, ia secara tidak langsung akan dapat membantu kerajaan mempromosikan industri pelancongan kesihatan ke pringkat global,'' jelasnya. Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian (MoU) aplikasi sistem tersebut di antara Digistar Rauland MSC dengan Pusat Perubatan Tropicana (TMC) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili. Setakat ini, sebanyak 10 buah hospital di seluruh negara telah menggunakan sistem berkenaan termasuk Institut Jantung Nagara (IJN), Hospital Pakar Johor, Hospital Pakar Seremban, Pusat Perubatan Darul Ehsan dan Hospital Assunta. Wah Chong memberitahu, perkembangan infrastruktur jalur lebar dan WiMax yang semakin pesat hari ini bakal memudahkan lagi perkembangan operasi sistem tersebut. ''Saya percaya, kehadiran sistem ini mampu memberi lebih keselesaan dan keseronokan kepada para pesakit yang menjalani rawatan di hospital,'' jelasnya. Sementara itu, menurut Maximus, pengenalan teknologi oleh syarikat Digistar Rauland MSC itu merupakan contoh terbaik dalam memperluaskan bidang inovasi dan kreativiti negara. ''Usaha ini selaras dengan matlamat Dasar ICT Negara yang mahukan teknologi moden diaplikasikan dalam semua industri. ''Ia dilihat sebagai penyumbang penting ke arah mempermudahkan pelbagai urusan sekali gus memangkin pembangunan yang lebih baik,'' katanya. Beliau juga memberitahu, perluasan teknologi menggunakan platform protokol Internet (IP) mampu menggalakkan usahawan teknologi tempatan menghasilkan perkhidmatan yang lebih interaktif. Menarik mengenai sistem televisyen yang menggunakan medium jalur lebar itu, ia tidak akan mengalami gangguan siaran sekiranya berlaku cuaca buruk. Dari segi kandungan pula, ia akan diambil daripada sumber luar negara sebelum dialih bahasa kepada bahasa tempatan untuk memudahkan  kefahaman. Pihak Digistar Rauland MSC bakal membekalkan perkhidmatan Hospital IPTV kepada hospital yang berminat untuk tempoh kontrak selama sepuluh tahun. Ia merangkumi bekalan peralatan, pemasangan, operasi dan juga penyelenggaraan sistem. Dari segi peratusan penonton pula, Hospital IPTV menyumbang sebanyak 60 hingga 80 peratus penonton berbanding hanya lima peratus untuk perkhidmatan IPTV yang digunakan di hotel-hotel. Digistar Rauland MSC juga dijangka memperluaskan perkhidmatan tersebut kepada hospital-hospital kerajaan dan juga swasta dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang. Ketika ini, syarikat itu sedang dalam peringkat kajian membangunkan teknologi komunikasi yang bakal membenarkan pesakit di wad hospital berhubung dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia.

Cyberkid serlah minat pelajar Asia terhadap ICT

PELAJAR tertarik dengan demonstrasi mengenai program yang diadakan.

Pelajar dari 10 negara - Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam teruja dengan setiap pekara baru yang dipelajari pada program Asean Ciberkids Camp (ACC) yang diadakan di Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tujuan utama program tersebut untuk meningkatkan kemahiran komputer para pelajar berasal dari kawasan pendalaman yang kurang mendapat pendedahan dalam bidang teknologi maklumat (ICT).
Bagi sebahagian peserta kem, pengetahuan mereka hanya tertumpu kepada teknologi komputer seperti perisian Microsoft Office dan asas melayari internet.
Pada masa yang singkat, peserta telah mempelajari perisian baru seperti Internet Tools, Presentation Skills yang menggunakan program Multimedia Photostory, YouTube, dan program teknologi untuk mencipta blog.
Pada hari ke tiga program, mereka bukan sahaja mampu mengembangkan asas daya kreativiti di dalam persembahan masing-masing malah para pelajar tersebut turut berpeluang menguji kebolehan berpidato mereka.
Seterusnya para pelajar akan melakukan persembahan dengan program Photoscape di dalam beberapa kumpulan.
Melalui program tersebut, peserta boleh menghasilkan pelbagai cerita berasaskan gambar dengan menggunakan teknologi foto yang beresolusi tinggi dan campuran bunyi yang lebih dinamik.
Sumber campuran bunyi tersebut terdiri daripada muzik, suara kanak-kanak dan nada dering daripada internet serta bunyi kehidupan yang lain seperti burung, kereta dan bunyi bising kesesakan trafik.
Setelah selesai menghasilkan cerita, mereka perlu menerangkan motif memilih gambar dan bunyi yang tertentu tersebut kepada fasilitator dalam bentuk persembahan mini.
Persembahan mini tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan berkeyakinan mereka dalam kemahiran berkomunikasi selaras dengan hasrat ahli akademik yang mahu penguasaan di dalam bidang tersebut dipertingkatkan.
Ketika ditanya apakah perkara yang paling mereka sukai tentang semasa berada pada kem tersebut, pelbagai reaksi telah diterima.
Seorang pelajar dari Vietnam, Cao Hai, 11, berkata, melalui teknologi foto tersebut dia dapat meluahkan apa sahaja perasaan yang disukainya.
"Jika di sekolah, saya tidak berpeluang mempelajari teknologi tersebut dan saya juga berharap suatu hari nanti saya dapat mempelajari bagaimana komputer boleh membantu dalam perniagaan," katanya.
Seramai 115 pelajar sekolah berumur antara 10 hingga 14 tahun menyertai kem selama lima hari tersebut dan setiap negara diwakili oleh empat orang pelajar dan seorang guru di dalam satu kumpulan.
Manakala sehari sebelum program tersebut tamat, para pelajar telah dibawa bersiar-siar di sekitar ibu kota Kuala Lumpur.
Pada hari terakhir, peserta berpeluang menemui pelukis kartun terkenal LAT dalam sesi ceramah bagaimana beliau boleh berjaya di dalam kerjaya profesional biarpun hanya berasal daripada seorang budak kampung.
Kem Asean Cyberkid (ACC) merupakan program kerjasama antara Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Maxis Berhad (Maxis) dan turut disokong oleh Kementerian Pendidikan.

No comments:

Post a Comment